KUCHING, 8 November 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengadakan kunjungan ke sambutan Hari Deepavali menerusi Diwali Open House anjuran YBhg. Dato’ Dr. Kalwinder Singh Khaira bersama keluarga, dalam suasana penuh kemesraan dan semangat muhibah.
Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen beliau dalam memupuk hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini, selain memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran Sarawak.
Sepanjang kunjungan itu, Premier turut meluangkan masa beramah mesra dengan tuan rumah serta para tetamu yang hadir, sekali gus menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Deepavali kepada masyarakat India yang meraikan perayaan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Premier turut mengadakan kunjungan ke The King’s Curry di Jalan Rumbia, Kuching, bagi menghadiri sambutan Deepavali anjuran YBhg. Dato’ Shankar R.P. Asnani. Kunjungan tersebut turut disambut dalam suasana mesra dan penuh kemeriahan.
Kesempatan itu dimanfaatkan oleh Premier untuk berinteraksi dengan keluarga tuan rumah serta tetamu yang hadir, selain memperlihatkan keakraban hubungan antara kepimpinan negeri dengan masyarakat pelbagai latar belakang di Sarawak.
Kunjungan ke kedua-dua sambutan Deepavali berkenaan memperlihatkan keunikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, agama dan tradisi, dengan semangat saling menghormati serta meraikan perayaan bersama terus menjadi lambang perpaduan dan keharmonian masyarakat.